Skip to main content

Pengertian Tarbiyah Di Dalam Islam

Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani. Dengan sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali ‘Imran: 110)



Peranan Tarbiyah Islamiyah.

Tarbiyah memainkan peranan penting dan berkesan dalam kebangkitan, pembangunan dan kemajuan sesuatu masyarakat. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan sesuatu masyarakat. Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama untuk membangunkan manusia yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.



Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.

Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan bahawa asas dan titik tolak didikan Islam adalah iman.

Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’ menghuraikan dengan panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan masyarakat Islam. Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah Islam yakni tauhid Rububiyatillah dan tauhid Uluhiyatillah. "Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia mengetahui hakikat diri dan letak duduknya manusia itu dalam hidup supaya faham mengapa manusia itu dijadikan, memahami hubungan dan pimpinan akal fikiran manusia, tindak lakunya dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Shadid dalam ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap kembali sejarah dengan menjelaskan bahawa Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT. Baginda adalah contoh utama dan qudwah hasanah serta pelaksana manhaj al-Quran. Baginda adalah pendakwah yang amat faham tentang dakwahnya dan murabbi (pendidik) yang dianugerahkan segala sifat sebagai murabbi.

Baginda mengajak sahabatnya dan orang ramai beriman kepada Allah, menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan. Arahan itu hanya akan diterima oleh hati yang beriman. Oleh itu, menurut Said Hawa, pemusatan perlu diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul.




Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek.

Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu dikira sebagai ‘ubudiyah (ibadah) kepada Allah SWT.

Menurut Mustafa Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada aqidah yang baik. Perkataan ibadah itu mempunyai sifat kesyumulannya dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas manusia dalam hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah kepada Allah.

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.”
(Al-Zariyat: 56)

Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan minum, ilmu dan amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah). Begitu juga sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah, padang permainan, malah dunia seluruhnya menjadi tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.

Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan Penciptanya dalam semua
aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah SWT. Hubungan hati manusia dengan Allah pada setiap masa adalah asas utama bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.

Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang disebutkan dalam al-athar:
“...Ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk amalan.” Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman ialah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah.” (Al-Hujurat: 15)

Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalanmu.”

“Pada hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang balik kepada Allah dengan hati yang (sejahtera).”

Tarbiyah Islamiyah berusaha menghidupkan jiwa supaya tidak mati, memakmurkannya supaya tidak binasa dan melembutkannya supaya tidak keras kerana hati yang keras dan akal yang beku merupakan satu kemungkaran yang perlu diminta perlindungan Allah SWT daripadanya.

“Adapun Nabi SAW meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak khusyu’.”



Hati Yang Soleh.

Baik buruk seseorang itu berpunca daripada hatinya. Tepat seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya yang bermaksud:

“Ketahuilah di dalam jasad manusia terdapat seketul daging, jika baik ketulan itu maka baiklah seluruh jasadnya, tetapi jika rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati.”

Oleh itu membaiki dan merawat hati daripada sebarang penyakit perlu diberi keutamaan. Jiwa perlu dibersihkan daripada sebarang syirik dan sifat yang tercela seperti hasad, ‘ujub, takkabur, bakhil, cintakan dunia, menurut hawa nafsu dan sebagainya.

Menurut Ibn Qaiyyim al-Jauzi, hati itu menjadi baik apabila ia mengenali Allah yang menciptanya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya dan peraturan-Nya. Hati yang sihat akan mengutamakan keredaan Allah dan mencintai apa yang disukai Allah serta menjauhi segala tegahan dan perkara yang dimurkai-Nya.



Realiti Masyarakat Islam Kini.

Adalah satu hakikat yang mudah difahami iaitu manusia hendaklah menjadi muslim dan dididik dengan didikan Islam. Bagaimanapun perkara semudah ini tidak difahami oleh umat Islam hari ini atau kabur bagi mereka.

Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi buih, tidak digeruni atau disegani lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa itu, wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tapi kamu laksana buih air bah.”



Dasar Penyelesaian Islam.

Masalah manusia hari ini tidak akan dapat dirungkaikan kecuali kembali kepada Islam. Islam pula tidak dapat memainkan fungsinya melainkan wujud para pendokong (‘amilinnya).

Meneliti sejarah Rasulullah SAW, para pendokong dibentuk dan diproses melalui Tarbiyah Islamiyah yang mengikrarkan ‘ubudiyah hanya kepada Allah; ‘ubudiyah yang merangkumi i’tiqad, ibadah dan peraturan yang benar-benar berjalan dalam amalan hidup mereka. Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan jiwa mereka daripada beriman kepada yang lain dan mengawasi amalan mereka daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah semata-mata.

Melalui proses ini sahajalah ummah Islamiyah dapat dibentuk. Ummah ini akan menjadi dasar penyelesaian Islam. Ummah yang dianggotai oleh mereka yang melalui proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggotanya iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah’.

Selagi ikrar ini tidak lahir dalam bentuk amalan individu mahupun masyarakat sebagai natijah proses pembentukan itu, mereka belum layak untuk menganggotai ummah muslimah dalam pengertian sebenar. Konsep yang tegas dan jelas ini perlu difahami oleh setiap muslim yang telah bertekad untuk memutuskan hubungannya dengan jahiliah dan mengikrarkan ‘ubudiyahnya hanya bagi Allah SWT. Kefahaman yang jelas ini penting supaya amalan hidup setiap muslim adalah benar-benar merupakan ibadah yang diredhai Allah SWT. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Dengan itu, kehidupan ummah Islamiah benar-benar diasas dan dikawal oleh kaedah ini, bukan kaedah lain atau bersama kaedah lain. Allah berfiman dalam Surah Yusuf, ayat 40 yang bermaksud:

“Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah din (agama) yang benar.”

Dalam Surah An-Nisa’, ayat 80 pula Allah berfirman yang bermaksud:

“Siapa yang mematuhi Rasul maka sesungguhnya ia mematuhi Allah.”

Berdasarkan kepada proses pembentukan dan pembangunan itu, maka langkah pertama ialah membersihkan jiwa anggota daripada ‘ubudiyah kepada yang lain daripada Allah swt sama ada dalam bentuk i’tiqad, ibadah dan syariat. Ummah yang dianggotai mereka yang sudah bersih hati dan jiwa sahaja yang dapat membangunkan masyarakat Islam.

Ummah yang dibangunkan di atas dasar tauhid tidak dapat diwujudkan kecuali setelah tencapai suatu tingkat kekuatan yang mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyah. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan ahklak, kekuatan organisasi, kekuatan ilmu dan pelbagai jenis kekuatan yang diperlukan bagi menentang sistem jahiliyah atau sekurang-kurangnya mampu mempertahankan diri daripada dikuasai jahiliyah.

Comments

Popular posts from this blog

Seskyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, apa peluang untuk bebas?

Sebagai peguam, kes di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, adalah di antara kes yang 'kebiasaanya' anak guam/tertuduh akan mohon bicara disebabkan hukuman minimum yang ditawarkan/ditetapkan di bawah Akta  dadah Berbahaya 1952 adalah mandatori penjara dan sebat, iaitu minimum 2 tahun penjara dan 3 sebatan. Tiada denda boleh ditawarkan atau penjara tanpa sebatan. Ada anak guam yang rela mengaku salah dan ada juga yang mohon bicara dek hukuman sebatan yang mengerunkan untuk dihadap. Namun, bagi 'orang lama' @ otai, kadangkala hukuman sebatan bukan isu besar, janji hukuman penjara seminimum mungkin. Jika ditanya kepada peguam, apakah ada peluang untuk menang kes bagi kesalahan-kesalahan ini? Selalunya, sebagai peguam yang profesioanal, tiada sebarang jaminan mutlak dapat/wajar diberikan, kerana ia bergantung kepada fakta kes dan bagaimanakah kes tersebut dibawa oleh pihak Pendakwaan. Sekiranya pasukan polis/IO menjalankan siasatan yang lengkap d...

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah?

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah? 1) Ada kefahaman dalam Masyarakat awam bahawa,  di dalam sesuatu kes Jenayah yang dituduh di Mahkamah, jika pengadu/mangsa 'tarik balik' laporan polis yang menjadi asas kes tersebut, maka kes tersebut wajib akan digugurkan oleh pihak Pendakwaan.   2. Jawapannya, adalah tidak semestinya. Ia kuasa budibicara mutlak pihak Pendakwaan sama ada nak teruskan kes atau tidak. Ada banyak pertimbangan lain yang dipertimbangkan, termasuklah status pengadu/mangsa yang tidak berminat meneruskan kes. 3). Sebenarnya, terma yang lebih tepat bukanlah 'tarik balik' laporan  polis, tetapi adalah 'tidak berhasrat untuk' meneruskan kes tersebut. Jika dikatakan tarik balik laporan polis, seolah olah laporan polis yang dibuat sebelum ini adalah tidak tepat atau palsu. Ia boleh membawa kepada kesalahan membuat laporan polis palsu pula jika kurang berhati hati di dalam perkara ini. 4).Contoh Lapora...

Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada seksyen 12(2) ADB 1952 [Heroin 3.74 G]

Alhamdulilah, permohonan anak guam, seorang pesalah muda bagi mengurangkan pertuduhan dari seksyen 39 A(1) ADB 1952 kepada s. 12(2) ADB 1952 diterima pihak DPP. Anak guam mengaku salah dan dikenakan hukuman denda. Jika tidak hukuman sebat berat bakal diterima.  Antara tugas peguam sepatutnya menyelia sesuatu kes agar the best interest of client akan terlaksana. Tidak perlu teruskan dengan trial jika kesan dan akibatnya lebih memudaratkan client. Terima kasih kepada Pihak Pendakwaan Johor atas ehsan dan budibicara kepada anak guam.