Skip to main content

Hikayat Dua Mata

Allah mengurniakan semua manusia dengan dua mata. Mata adalah antara nikmat jasadiah yang terbesar, juga merupakan lubang dugaan yang paling hebat bagi insan. Dengan mata manusia mampu melihat, sekaligus menjana akalnya untuk berfikir pelbagai perkara. Namun dengan mata juga manusia mudah bermaksiat, dan akhirnya dari apa yang dilihat, akalnya berfikir pelbagai perkara yang merosakkan.

Di samping dua mata yang Allah SWT berikan kepada manusia, saya terfikir akan ‘dua mata’ lagi yang manusia hakikatnya perlu wujudkan dalam diri mereka.

Satu mata yang melihat masa belakang. Satu mata lagi melihat masa hadapan. Mata melihat masa belakang: Muhasabah Kelemahan manusia antaranya adalah membuat kesilapan yang sama berulang-ulang. Dengan mengulangi kesilapan yang sama, peningkatan manusia dalam hidupnya akan terganggu. Manusia yang baik, adalah manusia yang tidak mengulangi kesilapannya.

Sebab itu Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya bermaksud:

“Seorang mu’min itu tidak akan disengat kala pada lubang yang sama sebanyak dua kali”

Di sini perlunya kita, sebagai seorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan menjalani kehidupan dengan baik, hidup dalam ketaatan, sekaligus menggapai redha-Nya, perlu mempunyai Mata Melihat Masa Belakang.

Dengan mata ini, kita bermuhasabah dan merenung salah silap kita. Ramai manusia mengingati kelebihannya, kebaikannya, kegemilangannya. Namun amat sedikit yang mengingati kekurangannya, kejahatannya, kerendahannya.

Saya ada mendengar orang berkata: “Benda-benda tak baik usah diingat” atau “Waktu yang telah berlalu usah dilihat kembali”

Pada saya, pandangan ini silap. Benda-benda tak baik yang dilakukan orang, betul kita tak perlu ingat. Tetapi benda-benda tak baik yang kita lakukan, perlu sentiasa kita ingati dan jadikannya sebagai bahan muhasabah, agar ia tidak berulang lagi. Bukan sekadar tidak berulang pada diri kita, tetapi juga tidak berulang pada diri anak-anak dan manusia sekeliling kita. Namun siapakah yang melihat masa belakangnya, dan mengoreksi kesilapannya?



Mata melihat masa hadapan: Merancang

Satu lagi kelemahan manusia adalah – tidak mempunyai perancangan. Hidupnya tidak dirancang, pengurusan dirinya tidak dirancang, keluarganya tidak dirancang, pekerjaannya tidak dirancang, tarbiyah anak-anaknya tidak dirancang, studinya tidak dirancang dan begitulah dalam kebanyakan sisi kehidupannya.

Saya paling panas bila ada orang cakap begini:

“Ala, rancang-rancang pun, kalau tak dapat yang dirancang buat apa”

Pada saya, manusia yang berkata begini adalah manusia yang menghancurkan diri mereka dan menghancurkan pula orang lain.Apakah perbezaan manusia yang merancang dengan yang tidak merancang? Manusia yang merancang akan bersedia. Persediaan adalah pakej perancangan. Jangan samakan merancang dengan harapan, atau sembang kemas, atau cakap omong kosong. Merancang bermakna punya plan, punya strategi.


Apabila kita telah bersedia, dan tidak mendapat apa yang kita rancang, sekurang-kurangnya persediaan kita tadi punya makna pada medan lain. Contoh mudah saya berikan adalah: Kita rancang hendak berkahwin dengan si fulanah binti fulan, maka kita mula mengumpul wang. Sampai pada masanya, si fulanah tidak mahu berkahwin dengan kita. Apa yang kita rancang tidak berjaya. Tetapi duit tadi masih ada. Dan duit itu boleh jadi bermakna di medan lain pula. Kegagalan satu perancangan, bukan penamat pada kehidupan.

Begitulah juga dalam menjadi hamba Allah SWT. Apakah perancangan kita? Di mana strategi kita hendak menggapai redha-Nya? Apakah jalan yang kita hendak ambil? Pernahkah anda merancang? Allah SWT juga menggalakkan perancangan:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kalian memerhatikan apa yang telah dia sediakan untuk hari esok…” Surah Al-Hasyr ayat 18.

Ya, apakah yang telah kalian sediakan untuk hari esok?

Penutup: Kalau kamu tidak sedar, maka kamu adalah orang yang merugi

Muhasabah dan perancangan adalah amat penting. Saya mulakan dengan muhasabah, kerana saya melihat tidak guna merancang sesuatu yang akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa yang lalu.


Bersama manusia ada masa. Masa ini tidak akan dapat dikembalikan. Maka bagi yang tidak bermuhasabah dan asyik mengulangi kesilapannya yang sama, maka dia telah kehilangan masa-masanya yang berharga. Bagi yang tidak merancang dan kehidupannya terabur, tunggang langgang, dia juga telah kehilangan masa-masanya yang berharga.

Inilah dia kerugian. Sebab itu Allah SWT berfirman:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian” Surah Al-‘Asr ayat 1-2.


Dan lebih merugikan, apabila kita tidak bermuhasabah, kita mengulangi kesilapan kkita yang sama, dan mewariskan pula kesilapan itu pada anak-anak kita, pada keturunan kita, pada sahabat-sahabat kita dan manusia di sekeliling kita. Lebih merugikan, kerana kita tidak merancang, keluarga kita rosak, studi kita terbengkalai, dan diri kita terhumban ke dalam kerosakan.

Inilah kerugian yang nyata.

“Katakanlah: Sesungguhnya orang yang rugi itu adalah mereka yang merugikan diri mereka dan keluarga mereka di akhirat” Surah Az-Zumar ayat 15.

Bukankah dunia ini ladang akhirat? Di sini kita menanam, di sana kita menuai? Maka rugi di sini, maka di akhirat sana juga menanti hasilan kerugiannya. Bagaimana? Hendak mewujudkan dua mata ini dalam kehidupan? Atau memilih untuk tidak melakukan apa-apa peningkatan?

Semuanya di tangan anda.

Tiada paksaan.

Namun telah jelas mana yang akan mencapaai kegemilangan, atau yang mana akan mengucup kehancuran.

Comments

Popular posts from this blog

Seskyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, apa peluang untuk bebas?

Sebagai peguam, kes di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, adalah di antara kes yang 'kebiasaanya' anak guam/tertuduh akan mohon bicara disebabkan hukuman minimum yang ditawarkan/ditetapkan di bawah Akta  dadah Berbahaya 1952 adalah mandatori penjara dan sebat, iaitu minimum 2 tahun penjara dan 3 sebatan. Tiada denda boleh ditawarkan atau penjara tanpa sebatan. Ada anak guam yang rela mengaku salah dan ada juga yang mohon bicara dek hukuman sebatan yang mengerunkan untuk dihadap. Namun, bagi 'orang lama' @ otai, kadangkala hukuman sebatan bukan isu besar, janji hukuman penjara seminimum mungkin. Jika ditanya kepada peguam, apakah ada peluang untuk menang kes bagi kesalahan-kesalahan ini? Selalunya, sebagai peguam yang profesioanal, tiada sebarang jaminan mutlak dapat/wajar diberikan, kerana ia bergantung kepada fakta kes dan bagaimanakah kes tersebut dibawa oleh pihak Pendakwaan. Sekiranya pasukan polis/IO menjalankan siasatan yang lengkap d...

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah?

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah? 1) Ada kefahaman dalam Masyarakat awam bahawa,  di dalam sesuatu kes Jenayah yang dituduh di Mahkamah, jika pengadu/mangsa 'tarik balik' laporan polis yang menjadi asas kes tersebut, maka kes tersebut wajib akan digugurkan oleh pihak Pendakwaan.   2. Jawapannya, adalah tidak semestinya. Ia kuasa budibicara mutlak pihak Pendakwaan sama ada nak teruskan kes atau tidak. Ada banyak pertimbangan lain yang dipertimbangkan, termasuklah status pengadu/mangsa yang tidak berminat meneruskan kes. 3). Sebenarnya, terma yang lebih tepat bukanlah 'tarik balik' laporan  polis, tetapi adalah 'tidak berhasrat untuk' meneruskan kes tersebut. Jika dikatakan tarik balik laporan polis, seolah olah laporan polis yang dibuat sebelum ini adalah tidak tepat atau palsu. Ia boleh membawa kepada kesalahan membuat laporan polis palsu pula jika kurang berhati hati di dalam perkara ini. 4).Contoh Lapora...

Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada seksyen 12(2) ADB 1952 [Heroin 3.74 G]

Alhamdulilah, permohonan anak guam, seorang pesalah muda bagi mengurangkan pertuduhan dari seksyen 39 A(1) ADB 1952 kepada s. 12(2) ADB 1952 diterima pihak DPP. Anak guam mengaku salah dan dikenakan hukuman denda. Jika tidak hukuman sebat berat bakal diterima.  Antara tugas peguam sepatutnya menyelia sesuatu kes agar the best interest of client akan terlaksana. Tidak perlu teruskan dengan trial jika kesan dan akibatnya lebih memudaratkan client. Terima kasih kepada Pihak Pendakwaan Johor atas ehsan dan budibicara kepada anak guam.