Skip to main content

Hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) , Ganti Hukuman Penjara?



Perintah Kehadiran Wajib (PKW) merupakah satu hukuman yang termaktub dalam perundangan negara Malaysia dibawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954. Menurut sumber Jabatan Penjara Malaysia;

“PKW adalah alternatif hukuman pemenjaraan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tertentu untuk menjalani hukuman di luar penjara dengan melaksanakan “kerja wajib” tanpa menjejaskan kehidupan hariannya.”

Dalam erti kata lainnya, PKW adalah perintah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap pesalah tanpa mereka perlu menjalani hukuman penjara. Sebaliknya pesalah diwajibkan hadir pada setiap hari di pusat kehadiran yang diperintahkan untuk menjalani hukuman “kerja wajib” untuk tempoh tidak lebih 3 bulan dan bagi bilangan jam tertentu tidak melebihi 4 jam setiap hari.

Pesalah Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dipanggil Pesalah Kehadiran Wajib. Mereka tergolong pesalah yang terlibat dengan kesalahan ringan kali pertama seperti mencuri di pasaraya dalam jumlah yang kecil, merempit tanpa lesen dan yang seumpamanya. Mereka diperintahkan menjalani hukuman dalam keluarga dan berkhidmat kepada masyarakat.

Pesalah ini diletakkan dibawah penjagaan Pegawai Pusat Kehadiran Wajib, Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Jabatan Penjara Malaysia. Sekiranya pesalah melanggar perintah pensyaratan sewaktu menjalani hukuman, mereka boleh disabitkan dengan kesalahan ‘melanggar perintah’ yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

Melalui hukuman Perintah Kehadiran Wajib ini, pesalah diwajibkan untuk
melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan (community services) tertentu seperti membersihkan masjid atau tempat-tempat ibadah bagi yang bukan beragama Islam, balai raya, pusara perkuburan dan sebagainya. Mereka juga diwajibkan untuk mengikuti kursus pengajaran yang diperuntukkan serta terlibat dalam aktiviti-aktiviti program komuniti seperti bersama anak yatim dan asnaf atau ceramah-ceramah agama dan kesedaran sosial yang dianjurkan agar mereka  menginsafi untuk tidak mengulangi kesalahan
lagi.

Perintah Kehadiran Wajib (PKW) merupakan proses pemulihan dalam komuniti demi menyuntik keinsafan kepada pesalah, serta hubungkait tanggungjawabnya terhadap nilai kekeluargaan dan hidup bermasyarakat.

Dengan melibatkan komuniti sebagai satu kumpulan sokongan pemulihan dan pencegahan, Pesalah Kehadiran Wajib diberi peluang untuk berubah demi kebaikan kehidupan mereka. Namun jika mereka masih sanggup mengulangi kesalahan lagi, maka penjaralah tempat yang sebaik-baiknya untuk mereka belajar mengenal erti keinsafan.

Secara undang-undang, di dalam kes PP lwn. MOHD REZZA MUSLIM MOHD ASRI,MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KANGAR,ABU BAKAR KATAR PK,[RAYUAN JENAYAH NO: 41(H)-10-10-2014],29 JANUARI 2015 ada menyatakan seperti berikut:-

'........
[6] Sebelum mahkamah ini menyentuh rayuan oleh perayu, eloklah diimbas kembali sejarah PKW di Malaysia. Pelaksanaan program ini bermula disekitar tahun 50-an di mana Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta itu) digubal. Pada peringkat awalnya program ini telah diwujudkan di Penjara Pulau Pinang, Penjara Pudu dan Penjara Taiping. Walau bagaimanapun, difahamkan Akta itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan beberapa masalah yang timbul.

[7] Program ini telah diberi nafas baru hasil cetusan idea Y Bhg Dato' Wira Hj. Zulkifli bin Haji Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia (ketika itu) setelah dipersetujui oleh YB Menteri Kementerian Dalam Negeri. Program ini dapat dilaksanakan setelah diletakkan sebagai salah satu program di bawah program NKRA yang berkuatkuasa mulai 1 September 2010. PKW menjadi kenyataan setelah menerima perwartaan jarak dan pejabat PKW oleh YB Menteri, Kementerian Dalam Negeri. Pada 30 September 2010, pusat kehadiran wajib telah mula menerima pesalah di daerah Pekan, Pahang di mana pesalah telah diperintahkan menjalani PKW selama tiga bulan dan empat jam sehari oleh Majistret, Mahkamah Majistret, Kuantan, Pahang.

[8]Akta itu pernah disemak pada tahun 1991 oleh Jabatan Peguam Negara, memandangkan Akta itu digubal sebelum penyatuan Sabah dan Sarawak dan ianya tidak terpakai di Sabah dan Sarawak. Pelaksanaan PKW telah pun dipanjangkan dan diterima pakai di Sabah dan Sarawak mulai 16 September 2012 setelah mendapat kelulusan perluasan penggunaan Akta itu dan diwartakan pada 1 Oktober 2012.

[9] PKW merupakan hukuman alternatif pemenjaraan yang diperuntukkan di bawah s. 5(1) Akta itu untuk tempoh masa yang tidak melebihi tiga bulan dan pesalah dikehendaki melakukan kerja wajib tidak melebihi empat jam sehari. Pesalah yang diberikan PKW dikehendaki melaporkan diri pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan dalam syarat-syarat PKW (sila rujuk s. 6(1), (2) dan (3) Akta itu).

[10] Bagi pesalah yang melanggar syarat-syarat PKW yang berada di perintah kehadiran wajib sebagaimana yang diperuntukkan di bawah s. 8(1) Akta itu, pegawai pusat kehadiran wajib akan melaporkan kepada mahkamah dan pesalah boleh dikenakan apa-apa hukuman atau apa-apa perintah lanjutan. Semasa menjalani hukuman PKW di lokasi yang ditetapkan, pesalah akan dipantau oleh seorang penyelia dan laporan bagi setiap kerja dilokasi akan dicatit bagi kerja yang dijalankan.

[11] Objektif utama program ini diadakan antara lainnya bertujuan mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi menampung banduan yang menjalani hukuman kurang daripada tiga bulan, mengurangkan kesesakan dalam penjara, pesalah masih meneruskan penghidupan sehariannya seperti biasa (pekerjaan asalnya), mengurangkan kesan pemenjaraan bagi kesalahan yang ringan dan mengurangkan impak residivis di penjara.

[12] Program yang dilaksanakan ini dapat membantu memulihkan pesalah dengan program-program yang diatur dengan memberi intervensi, sesi kaunseling dan memberi khidmat nasihat yang berterusan bagi mengingatkan pesalah supaya dapat berubah tingkahlaku dari negatif kepada positif.

[13] Di samping itu, apabila pesalah melakukan kerja-kerja wajib di lokasi kerja wajib ianya diharapkan dapat membantu memulihkan pesalah dengan timbul rasa keinsafan kepada pesalah. Sebagai contohnya apabila pesalah melakukan kerja wajib di rumah orang-orang tua, diharapkan semasa melakukan kerja tersebut akan menimbulkan rasa keinsafan kepada diri pesalah dan memupuk perasaan menghormati antara satu sama lain.

[14] Mahkamah ini juga berpendapat dengan adanya PKW, masyarakat sebenarnya memainkan peranan yang penting di dalam membantu program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Masyarakat berganding bahu bersama-sama pesalah dan bukannya dengan memulau atau menjauhkan diri daripada pesalah. Secara tidak langsung masyarakat membantu memulihkan keyakinan dan membina jati diri pesalah. Jabatan Penjara telah mengenal pasti peranan yang boleh diberikan oleh masyarakat kepada pesalah antaranya ialah memberi khidmat sokong bantu, memberi khidmat kaunseling, menyediakan lokasi kerja wajib dan mengadakan program bersama pesalah.

[15] Agensi-agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan yang penting di dalam membantu program PKW. Agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan [AADK], Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Majlis Perbandaran dan lain-lainnya berperanan di dalam membantu melaksanakan undang-undang yang berkaitan sekiranya berlaku apa-apa kejadian ataupun ketika memerlukan khidmat sokong bantu di dalam membantu memulihkan pesalah.

[16] Manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula berperanan di dalam membantu pesalah-pesalah dengan memberi sokongan di dalam bentuk intervensi, khidmat kaunseling, menyediakan lokasi kerja dan juga bekerjasama dengan jabatan di dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat. NGO merupakan satu badan yang mampu mempengaruhi masyarakat di dalam memberi sokongan terhadap program yang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

[17] Mahkamah ini telah memperolehi maklumat daripada Jabatan Penjara Malaysia, dalam tempoh berkuatkuasanya PKW iaitu 1 September 2010 sehingga 31 Disember 2010, seramai 136 pesalah telah menjalani hukuman PKW di bawah Akta itu atas pelbagai kesalahan. Jabatan Penjara Malaysia bagi tempoh itu telah menjimatkan perbelanjaan mengurus pesalah sekiranya dimasukkan ke dalam penjara sebanyak RM428,400 (RM35 x 136 x 90 hari).

[18] Mahkamah ini juga dengan izin telah memperolehi data daripada Jabatan Penjara Malaysia, setakat 12 Januari 2015, mahkamah seluruh Malaysia telah mengeluarkan PKW melibatkan seramai 2,084 pesalah.'

Semoga bermanfaat untuk semua.

Sumber:https://khirkhalid.com/perintah-kehadiran-wajib-pkw/

https://www.dropbox.com/s/oxue23z59wamytk/Akta%20461%20-%20Akta%20Kehadiran%20Wajib%20Pesalah-Pesalah%201954.pdf?dl=0&fbclid=IwAR1reF-nYPdoMlNNBTHyU7qmBYQwTiPDnfHjKN5YW-u1wKsUZnYNscvz848



Comments

Popular posts from this blog

Seskyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, apa peluang untuk bebas?

Sebagai peguam, kes di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, adalah di antara kes yang 'kebiasaanya' anak guam/tertuduh akan mohon bicara disebabkan hukuman minimum yang ditawarkan/ditetapkan di bawah Akta  dadah Berbahaya 1952 adalah mandatori penjara dan sebat, iaitu minimum 2 tahun penjara dan 3 sebatan. Tiada denda boleh ditawarkan atau penjara tanpa sebatan. Ada anak guam yang rela mengaku salah dan ada juga yang mohon bicara dek hukuman sebatan yang mengerunkan untuk dihadap. Namun, bagi 'orang lama' @ otai, kadangkala hukuman sebatan bukan isu besar, janji hukuman penjara seminimum mungkin. Jika ditanya kepada peguam, apakah ada peluang untuk menang kes bagi kesalahan-kesalahan ini? Selalunya, sebagai peguam yang profesioanal, tiada sebarang jaminan mutlak dapat/wajar diberikan, kerana ia bergantung kepada fakta kes dan bagaimanakah kes tersebut dibawa oleh pihak Pendakwaan. Sekiranya pasukan polis/IO menjalankan siasatan yang lengkap d...

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah?

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah? 1) Ada kefahaman dalam Masyarakat awam bahawa,  di dalam sesuatu kes Jenayah yang dituduh di Mahkamah, jika pengadu/mangsa 'tarik balik' laporan polis yang menjadi asas kes tersebut, maka kes tersebut wajib akan digugurkan oleh pihak Pendakwaan.   2. Jawapannya, adalah tidak semestinya. Ia kuasa budibicara mutlak pihak Pendakwaan sama ada nak teruskan kes atau tidak. Ada banyak pertimbangan lain yang dipertimbangkan, termasuklah status pengadu/mangsa yang tidak berminat meneruskan kes. 3). Sebenarnya, terma yang lebih tepat bukanlah 'tarik balik' laporan  polis, tetapi adalah 'tidak berhasrat untuk' meneruskan kes tersebut. Jika dikatakan tarik balik laporan polis, seolah olah laporan polis yang dibuat sebelum ini adalah tidak tepat atau palsu. Ia boleh membawa kepada kesalahan membuat laporan polis palsu pula jika kurang berhati hati di dalam perkara ini. 4).Contoh Lapora...

Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada seksyen 12(2) ADB 1952 [Heroin 3.74 G]

Alhamdulilah, permohonan anak guam, seorang pesalah muda bagi mengurangkan pertuduhan dari seksyen 39 A(1) ADB 1952 kepada s. 12(2) ADB 1952 diterima pihak DPP. Anak guam mengaku salah dan dikenakan hukuman denda. Jika tidak hukuman sebat berat bakal diterima.  Antara tugas peguam sepatutnya menyelia sesuatu kes agar the best interest of client akan terlaksana. Tidak perlu teruskan dengan trial jika kesan dan akibatnya lebih memudaratkan client. Terima kasih kepada Pihak Pendakwaan Johor atas ehsan dan budibicara kepada anak guam.