Skip to main content

TIP HARTANAH : PERBEZAAN ANTARA ‘FREEHOLD’, ‘LEASEHOLD’ DAN “HAK MILIK SEMENTARA”

Sedikit perkongsian yang pihak kami tulis di dalam artikel kali ini adalah mengenai jenis pegangan hartanah dan juga sedikit penjelasan tentang jenis hakmilik yang menjadikan sesetengah orang sedikit keliru mengenainya. Ini adalah berikutan beberapa salah faham yang berlaku apabila saya bersembang dengan beberapa orang bakal pembeli rumah, pemilik dan juga oleh sesetengah agen hartanah sendiri.


Antara yang ingin kami kongsikan di sini adalah mengenai pegangan milikan bebas (freehold), pajakan (leasehold) dan juga apakah dia Hakmilik Sementara yang mana boleh jadi ‘freehold’ mahupun ‘leasehold’.
Untuk penerangan di dalam artikel ini kami tidak akan menyentuh dengan mendalam dari segi perundangan (akta-akta dan sebagainya) tetapi hanya lebih kepada penerangan yang lebih mudah difahami untuk anda semua. Pertamanya apakah FREEHOLD dan apa pula LEASEHOLD?



FREEHOLD atau pegangan bebas merupakan tanah di mana pemilikannya adalah untuk tempoh selama-lamanya (kekal). Dalam ertikata mudah, pemilik tanah pegangan bebas memiliki tanah tersebut selamanya tanpa tertakluk kepada tanah tersebut kembali semula kepada hak milik kerajaan selepas sesuatu tempoh tertentu (kecuali melalui pegambilan balik tanah oleh kerajaan). Di dalam dokumen hakmilik muktamad (‘final title’), pegangan bebas dikenali sebagai GERAN (sama ada Geran atau Geran Mukim) seperti di dalam rajah di sebelah. Geran merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Negeri manakala Geran Mukim merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan dan ditadbir oleh Pejabat Tanah dan Daerah.



Sebagai contoh, jika dokumen hakmilik itu dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Tanah Negeri maka ianya menggunakan No. Hakmilik seperti GERAN 1234 manakala jika ianya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah maka No. Hakmilik adalah seperti Geran Mukim 1234.

LEASEHOLD atau pegangan berstatus Pajakan pula merupakan jenis pegangan ke atas hartanah untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan. Pada masa ini tempoh pajakan yang biasa dilihat atau dikeluarkan oleh kerajaan negeri / Pejabat Tanah adalah untuk 99-tahun. Di negeri seperti Sabah & Sarawak, kita mungkin melihat tempoh pajakan yang lebih panjang manakala untuk hakmilik lama dan tujuan selain kediaman anda mungkin akan lihat pajakan untuk tempoh seperti 30 atau 60 tahun.



Persoalan utama di sini apa akan jadi selepas tempoh pajakan tersebut tamat? Jawapannya, tanah tersebut akan kembali menjadi hakmilik negeri. Walau bagaimanapun, ini jarang berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah kediaman akan diberikan peluang untuk memperbaharui/memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa.



Sekiranya anda merupakan pemilik tanah jenis pajakan, anda tidak perlu menunggu sehingga pajakan tersebut tamat tempoh untuk memohon tetapi boleh mula memohon apabila tempoh pajakan tersebut semakin pendek (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah. Anda akan dimaklumkan mengenai jumlah premium yang perlu dibayar untuk permohonan tersebut dan perlu membuat pembayaran sebelum ianya diluluskan. Untuk negeri Selangor, adalah dimaklumkan pada tahun 2011 bahawa pemilik yang terus tinggal di hartanah berkenaan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja berbanding jumlah premium mengikut nilai pasaran tersebut sehingga beliau menjual hartanah berkenaan. Jumlah ini adalah tersangat kecil dan merupakan suatu tindakan yang baik dari kerajaan negeri tersebut. Sebagaimana dokumen hakmilik kekal, pegangan pajakan juga mempunyai pengenalan tersendiri dalam membezakannya di dalam dokumen hakmilik. No. Hakmilik muktamad bagi pegangan pajakan akan menggunakan PAJAKAN 1234 atau PAJAKAN MUKIM 1234 – merujuk cara yang sama seperti Geran.



Secara amnya kebanyakan tanah-tanah untuk projek perumahan pada masa ini adalah berstatus ‘Pajakan’ kerana ianya merupakan tanah yang ‘diberimilik’ oleh kerajaan kepada pemaju untuk dibangunkan. Hanya projek-projek perumahan terdahulu yang mana tanah sudah dimiliki oleh individu sahaja biasanya yang memiliki status pegangan bebas (kekal). Dari segi nilaian hartanah pula, sebagaimana sedia maklum, tanah dengan ciri2 yang sama akan mempunyai nilai yang lebih tinggi untuk pegangan bebas berbanding pajakan. Selain disebabkan tempoh pegangan tersebut, ianya adalah berkaitan dengan permintaan dan juga tempoh pindahmilik yang lebih panjang untuk pegangan pajakan yang memerlukan kebenaran/kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri untuk pindahmilik tersebut yang kadangkala memakan masa sehingga 1 tahun.




HAKMILIK SEMENTARA?


Sebagaimana yang telah kami terangkan di atas, dokumen hakmilik MUKTAMAD akan menggunakan no. pengenalan seperti Geran, Geran Mukim, Pajakan, Pajakan Mukim dan sebagainya. Bagaimana pula bagi hakmilik yang belum muktamad? Untuk hakmilik yang belum muktamad, no. pengenalan hakmilik yang digunakan yang mungkin anda pernah lihat adalah seperti H.S.(D)1234 atau H.S.(M)1234. Huruf pengenalan H.S. di sini sebenarnya merujuk kepada ‘Hakmilik Sementara‘ manakala (D) dan (M) masing-masing merujuk kepada Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah Daerah berkenaan iaitu D (Daftar) – Pejabat Pendaftar Negeri manakala M (Mukim) – Pejabat Tanah Daerah. 


Terdapat sebahagian mereka yang keliru dengan anggapan bahawa Hakmilik Sementara merupakan pegangan ‘sementara’ yang mereka fikir pegangan pajakan sedangkan ianya suatu perkara yang berbeza. Semoga penerangan ini dapat memberikan pencerahan kepada masalah tersebut. Oleh itu, Hakmilik Sementara ini juga mempunyai jenis pegangan yang berbeza iaitu sama ada ianya pegangan bebas ataupun pegangan pajakan yang mana boleh dirujuk di dalam dokumen hakmilik tersebut. 



Walaupun Hakmilik sementara ini bukanlah dokumen hakmilik muktamad ianya tetap sah digunapakai sebagaimana butiran yang tercatit di dalamnya sehinggalah hakmilik muktamad dikeluarkan. Hakmilik muktamad merupakan hakmilik berdasarkan ukuran akhir/sebenar Pejabat Tanah dan terdapat kemungkinan saiz muktamad tanah anda sedikit berbeza dari saiz di dalam hakmilik sementara.



Diharapkan sedikit penerangan ringkas mengenai 3 perkara di atas dapat memberikan penjelasan kepada anda semua yang masih belum jelas mengenainya. Selamat maju jaya untuk semua kenala-kenalan.

credit: Kumpulan Pengurusan Hartanah Kelantan

Comments

Popular posts from this blog

Seskyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, apa peluang untuk bebas?

Sebagai peguam, kes di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, adalah di antara kes yang 'kebiasaanya' anak guam/tertuduh akan mohon bicara disebabkan hukuman minimum yang ditawarkan/ditetapkan di bawah Akta  dadah Berbahaya 1952 adalah mandatori penjara dan sebat, iaitu minimum 2 tahun penjara dan 3 sebatan. Tiada denda boleh ditawarkan atau penjara tanpa sebatan. Ada anak guam yang rela mengaku salah dan ada juga yang mohon bicara dek hukuman sebatan yang mengerunkan untuk dihadap. Namun, bagi 'orang lama' @ otai, kadangkala hukuman sebatan bukan isu besar, janji hukuman penjara seminimum mungkin. Jika ditanya kepada peguam, apakah ada peluang untuk menang kes bagi kesalahan-kesalahan ini? Selalunya, sebagai peguam yang profesioanal, tiada sebarang jaminan mutlak dapat/wajar diberikan, kerana ia bergantung kepada fakta kes dan bagaimanakah kes tersebut dibawa oleh pihak Pendakwaan. Sekiranya pasukan polis/IO menjalankan siasatan yang lengkap d...

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah?

'Tarik balik' Laporan Polis, mestikah kes Pengadu tersebut digugurkan di Mahkamah? 1) Ada kefahaman dalam Masyarakat awam bahawa,  di dalam sesuatu kes Jenayah yang dituduh di Mahkamah, jika pengadu/mangsa 'tarik balik' laporan polis yang menjadi asas kes tersebut, maka kes tersebut wajib akan digugurkan oleh pihak Pendakwaan.   2. Jawapannya, adalah tidak semestinya. Ia kuasa budibicara mutlak pihak Pendakwaan sama ada nak teruskan kes atau tidak. Ada banyak pertimbangan lain yang dipertimbangkan, termasuklah status pengadu/mangsa yang tidak berminat meneruskan kes. 3). Sebenarnya, terma yang lebih tepat bukanlah 'tarik balik' laporan  polis, tetapi adalah 'tidak berhasrat untuk' meneruskan kes tersebut. Jika dikatakan tarik balik laporan polis, seolah olah laporan polis yang dibuat sebelum ini adalah tidak tepat atau palsu. Ia boleh membawa kepada kesalahan membuat laporan polis palsu pula jika kurang berhati hati di dalam perkara ini. 4).Contoh Lapora...

Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada seksyen 12(2) ADB 1952 [Heroin 3.74 G]

Alhamdulilah, permohonan anak guam, seorang pesalah muda bagi mengurangkan pertuduhan dari seksyen 39 A(1) ADB 1952 kepada s. 12(2) ADB 1952 diterima pihak DPP. Anak guam mengaku salah dan dikenakan hukuman denda. Jika tidak hukuman sebat berat bakal diterima.  Antara tugas peguam sepatutnya menyelia sesuatu kes agar the best interest of client akan terlaksana. Tidak perlu teruskan dengan trial jika kesan dan akibatnya lebih memudaratkan client. Terima kasih kepada Pihak Pendakwaan Johor atas ehsan dan budibicara kepada anak guam.